26 January 2012

Apple miliki wang RM1.26 trilion


SEBUAH telefon bimbit iPhone (kiri), komputer MacBook Air dan iPad dipamerkan di sebuah kedai Apple pada Selasa lalu.


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Apple sekali lagi memintas Exxon sebagai syarikat AS paling berharga selepas ia mencatat suku kewangan yang mengagumkan.

Harga saham Apple Inc. meningkat enam peratus dalam dagangan tengah hari kelmarin untuk diniagakan pada harga AS$445.29 (RM1,354.35) sesaham dengan modal pengilang gajet iPhone dan iPad itu kini mencecah AS$415 bilion (RM1.26 trilion).

Ia jauh lebih besar daripada Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia yang berjumlah RM429.7 bilion setakat 15 November tahun lalu.

Sementara itu, saham Exxon Mobil Corp. turun satu peratus kelmarin kepada AS$86.52 (RM263) sesaham manakala modal syarikat pula berjumlah AS$414 bilion (RM1.21 trilion).

Apple pertama kali mengatasi ExxonMobil sebagai syarikat paling bernilai pada Ogos tahun lalu dengan kedua-duanya bersaing sengit sejak itu.

Dalam satu kenyataan pada Selasa lepas, Apple memberitahu, pendapatan bersihnya untuk suku kewangan terbaharu yang berakhir pada Disember tahun lalu meningkat lebih dua kali ganda manakala perolehan syarikat pula melonjak 73 peratus.

Apple mengetepikan syarikat perisian komputer, Microsoft Corp yang kini berada di tempat ketiga dengan modal AS$247 bilion (RM751.25 bilion) untuk menjadi syarikat terbesar AS pada 2010.

Apple menyatakan ia menjual 37.04 juta iPhone pada suku kewangan tersebut, meningkat 128 peratus berbanding setahun lalu manakala jualan komputer iPad pula meningkat 111 peratus kepada 15.43 juta unit.

Pada suku kewangan sama, Apple turut menjual 5.2 juta komputer meja Macintosh, meningkat 26 peratus.

Namun, jualan pemain muziknya, iPod menurun 21 peratus kepada 5.4 juta berbanding setahun lalu.

Sebelum ini, kematian pengasas bersama Apple, Steve Jobs selepas dia menghidap kanser pada 5 Oktober 2011 ketika berusia 56 tahun menimbulkan spekulasi bahawa jurutera-jurutera Apple gagal meneruskan legasi kejayaannya.

Tim Cook, 51, yang mengambil alih tugas Ketua Eksekutif Apple pada Ogos 2011 dalam satu kenyataan pada Selasa lepas bagaimanapun percaya kesinambungan tersebut akan dapat diteruskan. - Agensi

0 comments:

Post a Comment