20 January 2012

Anak jutawan Pakistan diselamat

TUN HISAN melihat pasport suspek yang dirampas pada sidang media di IPK Selangor, semalam.
TUN HISAN melihat pasport suspek yang dirampas pada sidang media di IPK Selangor, semalam.
Mangsa berusia 24 tahun diculik, dikurung 9 hari

SHAH ALAM: Polis Selangor menyelamatkan anak lelaki seorang jutawan terkenal dari Pakistan yang diculik dan dikurung selama sembilan hari selepas menumpaskan satu sindiket penculikan antarabangsa didalangi rakyat negara itu dalam operasi khas pada 10 Januari lalu hingga kelmarin. 
 
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata mangsa yang berumur 24 tahun diculik di rumahnya di Bandar Baru Bangi sebelum sindiket yang dianggotai oleh 10 orang lelaki itu meminta wang tebusan sebanyak RM1.7 juta daripada keluarga mangsa yang berada di Karachi, Pakistan. 
 
“Semua suspek berusia antara 26 hingga 41 tahun ditahan berasingan di Kajang, Banting dan Seremban dalam operasi khas bermula 10 Januari lalu hingga kelmarin.

“Pada Khamis lalu, mangsa ditemui di sebuah kawasan di Kajang pada jam 6.35 petang dan polis turut menahan dua suspek.

“Hasil soal siasat, polis berjaya menjejaki saki-baki anggota sindiket terbabit dengan tangkapan terakhir pada jam 10.45 malam hari sama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam.

Tun Hisan berkata, siasatan awal mendapati mangsa datang ke negara ini bersama bapa saudaranya atas urusan perniagaan sebelum diculik.
“Semua suspek memiliki pasport sah dan bekerja sebagai buruh dan di kedai runcit. Hasil siasatan juga mendapati mereka ada berhubung dengan rangkaian penjenayah di Pakistan ketika kejadian.

“Siasatan mendapati mangsa tidak mengenali suspek. Polis masih siasat kemungkinan sindiket ini ada melakukan jenayah lain di negara ini,” katanya.

0 comments:

Post a Comment