15 January 2012

Amah maut ditimpa pintu pagar 200kg

JOHOR BAHRU: Seorang pembantu rumah warga Indonesia maut dihempap pintu pagar seberat 200 kilogram ketika mencuci lantai di luar kediaman majikannya dekat Jalan Raja Udang, Larkin Jaya, di sini, tengah hari semalam.

Kejadian berlaku jam 12.30 tengah hari ketika mangsa dikenali sebagai Oneh, 50-an, sedang membersihkan kawasan depan rumah itu sebelum dipercayai tergelincir akibat lantai licin.
Dalam keadaan cemas, mangsa dipercayai bertindak memaut pintu pagar terbabit untuk mengelak daripada terjatuh, tetapi bahan binaan besi itu tumbang menghentak kepala serta menghempap badan mangsa.
Anak majikan mangsa, Shahrul Hassan, 41, berkata ahli keluarganya yang berada dalam rumah ketika itu, terkejut dengan dentuman kuat daripada arah luar rumah itu sebelum bergegas keluar meninjau.

“Kami terkejut mendapati bibik (Oneh) sudah terbaring berlumuran darah di bawah pintu pagar yang tumbang. Kami bergegas mengalihkan pintu pagar terbabit kerana ketika itu mendapati bibik masih lagi bernyawa.

“Namun belum sempat mendapatkan bantuan kecemasan, beberapa minit kemudian, dia menghembus nafasnya yang terakhir di hadapan kami sekeluarga,” katanya yang sedih mengenangkan kejadian menimpa pembantu rumah yang dianggap bagaikan ahli keluarga sendiri itu.

Shahrul berkata, keluarganya bersedih dengan kejadian menimpa mangsa yang bekerja sebagai pembantu di rumahnya sejak empat tahun lalu dan menganggapnya seorang pekerja setia dan dedikasi dalam menjalankan tugasan dengan baik.
“Walaupun menerima kejadian ini sebagai suatu takdir namun kami bersedih mengenangkan bibik tidak mempunyai ahli keluarga dan hidup sebatang kara.

“Malah, gajinya disimpan kerana dia berhajat menunaikan ibadah haji bersama kami,” katanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob, yang mengesahkan kejadian itu mengklasifikasikan kes terbabit sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah.

Katanya, siasatan polis mangsa sedang membersihkan persekitaran rumah majikannya sebelum tergelincir dan dihempap pintu pagar itu yang dipautnya ketika mengelak daripada terjatuh.

“Mangsa meninggal akibat kecederaan parah di bahagian kepala, muka dan beberapa anggota.

“Mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat, sebelum diserahkan kembali kepada majikannya untuk dikebumikan,” katanya.

0 comments:

Post a Comment