30 January 2012

Akibat mencuri hasil jualan restoran seorang remaja dihukum khidmat masyarakat 240 jam


MELAKA – Akibat mencuri wang hasil jualan restoran, seorang remaja diarah menjalani hukuman khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Muhamad Hazri Hanafi menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Shaezwan Kadir (gambar), 19, selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya termasuk meneliti laporan sosial yang dikemukan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang melaporkan laporan akhlak tertuduh baik.
Bagaimanapun tertuduh dikategorikan sebagai bernasib baik kerana hukuman yang dijatuhkan ke atasnya mengikut Seksyen 293 Kanun Prosedur Jenayah disebabkan tertuduh merupakan seorang pesalah muda.
Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa sebagai orang gaji yang diambil bekerja iaitu seorang penghantar piza telah didapati dengan niat curang mencuri wang tunai sebanyak RM2,850 kepunyaan Domino Pizza Sdn. Bhd. tanpa kebenaran.
Tertuduh melakukan perbuatan itu di Domino Pizza No 25, 25-1, 25-2 Jalan KPAA, Kompleks Perniagaan Al-Azim di sini pada 15 Disember tahun lalu antara pukul 9 malam hingga 9.20 malam.
Bagi kes itu tertuduh disiasat dibawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama boleh sampai tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, seorang penyelia restoran telah menetapkan sejumlah wang bernilai RM2,850 di dalam sebuah plastik jernih dan diletakkan di atas rak.
Tertuduh yang kemudian melihat wang di dalam plastik tersebut kemudian telah bertindak mengambilnya dan terus keluar dari restoran untuk menghantar piza.

0 comments:

Post a Comment