15 January 2012

9 paket Heroin dirampas

KEMAMAN – Sebanyak sembilan paket dadah jenis Heroin seberat 153 gram berjaya dirampas polis susulan penangkapan tiga individu selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Titian Berayun, Kijal, dekat sini, awal pagi semalam.

Dengan rampasan dadah sebanyak itu, suspek yang ditangkap boleh dihukum gantung mandatori jika disabitkan kesalahan. Dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi itu, dua lelaki masing-masing berusia 30 dan 47 tahun dicekup ketika sedang membungkus dadah ke dalam plastik lutsinar.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, bertindak atas risikan, polis menyerbu rumah di Kampung Titian Berayun dan sebelum itu polis mengetuk pintu rumah terbabit beberapa kali dan pintu dibuka oleh seorang wanita berusia 32 tahun.

Menurutnya, gara-gara terkejut dengan kehadiran polis, wanita itu bertindak melarikan diri ke dalam sebuah bilik sebelum menguncinya menyebabkan polis terpaksa menendang pintu rumah, sebelum mendapati terdapat dua lagi lelaki berada dalam bilik itu sambil kesemua mereka cuba meloloskan diri melalui tingkap.

Bagaimanapun, kecekapan dan kepantasan polis berjaya menghalang mereka daripada lolos dan berlaku pergelutan sebelum suspek berjaya ditahan.

“Sebanyak sembilan paket Heroin seberat 153 gram ditemui dalam bilik itu bersama alat timbang digital dan plastik lutsinar kosong.

“Setelah diperiksa juga sebiji pil kuda ditemui pada suspek berusia 30 tahun. Hasil ujian air kencing turut mendapati kedua-dua suspek lelaki positif dadah,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

0 comments:

Post a Comment