20 January 2012

25,000 anggota keselamatan kawal Sukan Olimpik 2012


Tentera dan polis marin dalam bot peronda, boy RIB, LCVP meronda Sungai Thames dekat Woolwich semasa latihan keselamatan sempena Sukan Olimpik 2012, di London semalam. - REUTERS



LONDON 20 Jan. - Kira-kira 25,000 anggota tentera dan polis akan ditempatkan di London sepanjang Sukan Olimpik 2012 bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Scotland Yard hari ini melaporkan kira-kira 100 anggota Tentera Marin Diraja dan 50 anggota polis menjalankan beberapa siri latihan menggunakan bot-bot peronda dan helikopter Tentera Udara Lynx.

"Penempatan anggota pasukan keselamatan di London sepanjang acara berlangsung bertujuan untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, selain melumpuhkan cubaan serangan pengganas," kata Timbalan Pesuruhjaya, Chris Allison ketika menyaksikan demonstrasi pasukan keselamatan di Sungai Thames.

Latihan tersebut akan berlanjutan selama seminggu sebagai persediaan bagi anggota pasukan keselamatan untuk menjalankan tugas dalam musim panas memandangkan kejohanan itu akan berlangsung ketika musim panas.

Mejar Paul Stitsson dari Tentera Marin Diraja berkata, polis dan tentera akan bekerjasama bagi menjamin keselamatan pengunjung dan para peserta.

"Kami sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Operasi keselamatan Sukan Olimpik 2012 yang menelan kos sebanyak AS$856 juta (RM2,653.6 juta) turut melibatkan penggunaan pesawat pejuang, dua kapal tentera laut dan peluru berpandu. - AFP

0 comments:

Post a Comment