27 January 2012

2 pegawai tentera Thai kena cekup

BANGKOK: Seorang pegawai tentera berpangkat mejar yang disyaki terbabit dengan kes dadah berbilion baht ditahan, manakala waran tangkap dikeluarkan ke atas seorang daripada orang bawahannya. 

Mejar Piyanat Ketchamras daripada Batalion Kejuruteraan Pasukan Tiga dibawa oleh helikopter semalam dari kem askar di Phitsanulok di daerah Muang ke BiroKawalan Narkotik di Bangkok.

Mahkamah Jenayah mengeluarkan waran tangkap terhadap Mejar Ketchamras selepas dia mempunyai kaitan dengan suspek dadah di kalangan orang awam.

Mahkamah turut meluluskan waran tangkap ke atas Sarjan Mejar Weenas Srijai.

Ketua Tentera Prayuth Chan-ocha berkata, pihaknya tidak akan melindungi pegawai yang terbabit dengan dadah dan mereka perlu melalui prosiding undang-undang. “Tentera tidak akan melindungi mereka dan suspek perlu didakwa,” katanya yang turut menambah tentera akan membentuk jawatankuasa untuk menyiasat isu itu.

Rabu lalu, polis menahan Niphon Kanchat yang mengakui mempunyai 3.8 juta pil ecstasy dan 71 kilogram serbuk methamphetamine bernilai lebih 1 bilion baht (RM9.75 juta).
Dadah itu pada awalnya ditemui di kediaman teman wanitanya di kawasan perumahan Summakorn di Jalan Rangsit-Nakhon Nayok. Polis berkata Kanchat menamakan Mejar Ketchamras sebagai dalang dalam rangkaian penyeludupan dadah. Kad pengenalan palsu Arahan Operasi Keselamatan Dalaman dengan gambar Kanchat ditemui dalam sebuah van di kediaman itu yang digunakan untuk menyimpan dadah.

Dipercayai dia menggunakan kad itu bagi mengelak dicurigai pihak berkuasa. - Bangkok Post

0 comments:

Post a Comment