17 January 2012

17 korban hari pertama

KUALA LUMPUR: Hari pertama Ops Sikap 25 sempena Tahun Baru Cina 2012 sudah menyaksikan 17 korban kemalangan jalan raya di seluruh negara dan penunggang motosikal masih menjadi mangsa tertinggi dengan jumlah kematian 10 orang.
Ops Sikap dilancarkan kelmarin oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar turut mencatatkan jumlah kemalangan jalan raya sebanyak 1,303 kes dan 13,813 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Jumlah kematian dicatatkan pada hari pertama operasi menunjukkan peningkatan berbanding 14 kematian hari pertama Ops Sikap 24 sempena Aidilfitri Ogos tahun lalu.
Berdasarkan Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain 10 penunggang dan pembonceng motosikal, tujuh yang lain ialah pemandu kereta (lima) dan seorang pemandu lori serta pejalan kaki.

Jumlah kemalangan tertinggi dicatatkan di jalan bandaran sebanyak 647 kes, diikuti jalan persekutuan (265), jalan negeri (225), lebuh raya (109) dan lain-lain (57) kemalangan.

Selepas melancarkan Ops Sikap 25, Ismail berkata, pihaknya sudah mengenal pasti 97 lokasi kemalangan maut di seluruh negara dan meletakkan 97 kumpulan pasukan khas untuk pemantauan. Menurutnya, PDRM juga memfokuskan enam operasi termasuk had laju, motosikal, operasi mabuk, lorong kecemasan dan potong barisan, lampu isyarat, lebih muatan, tali pinggang serta topi keledar sepanjang tempoh operasi dijalankan sehingga 30 Januari ini.

0 comments:

Post a Comment